Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Keteladanan yang baik merupakan salah satu wasilah tarbiyah yang memiliki pengaruh yang besar dalam pembentukan jiwa dan akhlaq seseorang.
Lebih-lebih lagi dalam jangka waktu pertama pembentukannya di mana dengan keteladanan yang tinggi seperti inilah, Islam yang sebenar akan segera dirasakan oleh objek dakwah samada orang Islam atau bukan Islam.
Ada dua asas yang sangat berpengaruh dalam melahirkan keteladanan yang baik iaitu :
- Akhlaq yang baik.
- Kesesuaian perkataan dengan perbuatan.
ASAS YANG PERTAMA : AKHLAQ YANG BAIK
Akhlaq atau tingkah laku yang baik, merupakan satu perkara yang menjadi titik tolak kejayaan dakwah.
Seorang murabbi mesti menghiasi perbuatan, tingkah laku dan akhlaqnya dengan sifat ini sehingga keberadaannya di dalam masyarakat tidak merusakkan warna dan citra Islam.
Ada lima (5) aspek yang mendukung bagi terbentuknya akhlaq yang baik.
1. JUJUR
Di dalam Al Qur’an terdapat banyak ayat-ayat yang berbicara tentang sifat dan keutamaannya sekaligus memerintahkan kepada orang-orang yang beriman untuk menjadi orang-orang yang jujur dengan sentiasa bergaul dengan para ‘shadiqin’ (orang-orang telah diketahui kejujurannya).
Allah swt berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang jujur”.
(QS At Taubah :119)
(QS At Taubah :119)
Jujur adalah satu sifat yang mempunyai nilai yang bermanfaat bagi hamba pada hari kiamat dan sekaligus menyelamatkannya dari murka Allah dan mendorongnya ke dalam syurga yang abadi.
Firman Allah swt :
“Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah ridha kepadanya. Itulah keberuntungan yang paling besar”.
(QS Al Maa-idah :119)
(QS Al Maa-idah :119)
2. SABAR
Sabar merupakan separuh dari iman. Al Qur’an mengungkapnya lebih dari lapan puluh tempat dengan gaya bahasa perintah.
“Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu”.
(QS Al Baqarah : 45)
(QS Al Baqarah : 45)
Sudah menjadi kemestian bagi seorang pendakwah yang menjadikan jalan dakwah sebagai jalan hidupnya untuk tabah dan bersabar terhadap berbagai halangan, tribulasi, ‘mihnah’ dan ujian yang dialaminya kerana memang, menempuh jalan dakwah bererti menempuh mara bahaya dan kesulitan dan tanpa ketabahan dan kesabaran, maka yang wujud hanyalah kerusakan.
Firman Allah swt :
“Wahai anaku, dirikanlah solat, dan perintahkan (manusia) untuk berbuat baik, dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang munkar, dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu, Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)”.
(QS Luqman :17)
(QS Luqman :17)
“Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul ……
(QS Al Ahqaaf : 35)
(QS Al Ahqaaf : 35)
3. PENYANTUN DAN LEMAH LEMBUT
Seorang murabbi mempunyai tanggungjawab terhadap pertumbuhan dan perkembangan anak didiknya. Oleh yang demikian, ia perlu memiliki hati yang dipenuhi rasa santun, lemah lembut dan penyayang dan sikap ini tidak hanya ditujukan terhadap anak binaannya, tetapi juga kepada semua orang.
Rasulullah saw bersabda :
“Tidak akan disayang, orang yang tidak menyayangi orang lain”.
“Penyantun, kasih sayang, belas kasihan dan lemah lembut, tidak akan dicabut kecuali dari diri orang yang jahat dan celaka”.
“Orang-orang yang penyayang disayangi Allah, maka sayangilah orang-orang yang ada di atas muka bumi, niscaya kamu akan disayangi oleh yang ada di atas langit”.
Di dalam kitabNya, Allah swt memberikan keterangan bagaimana sifat ramahnya Nabi Muhammad saw :
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin”.
(QS At-Taubah : 128)
(QS At-Taubah : 128)
4. RENDAH DIRI DAN TIDAK SOMBONG
Sikap rendah diri merupakan lawan dari sikap sombong. Ia adalah hasil dan buah secara langsung dari pengenalan terhadap Allah, Rabbnya dan terhadap dirinya sendiri.
Tidak mungkin manusia itu menjadi sombong apabila ia mengenal kekuasaan dan kebesaran Rabbnya, dan mengetahui keterbatasan dirinya.
Pendakwah adalah orang yang paling berhak atas sikap ini berbanding orang lain. Sikap ini mesti ada ketika ia :
a. Bergaul dengan manusia.
b. Menyeru mereka kepada kebenaran dan akhlaq Islam yang mulia.
Secara fitrahnya, manusia memiliki tabiat tidak suka atau cenderung untuk meninggalkan orang-orang yang sombong serta menutup hati dari seruan, petunjuk dan ajakan ke arahnya.
Oleh kerana itu, hendaklah pendukung dakwah dan para murabbi memahami dengan baik masaalah ini.
Bertaqwalah kepada Allah dan jauhkanlah sikap sombong dan takabur yang hanya akan menjadi sebab larinya manusia dari dakwah ini.
Orang yang sombong, dan takabur adalah orang yang :
a. Enggan duduk satu majlis dengan orang-orang yang miskin, faqir dan lemah.
b. Sentiasa merendah-rendah orang lain.
c. Merasa dialah yang paling baik (ananiyah).
Sebaliknya, orang yang tawadhu’ dan rendah diri, dia memahami benar firman Allah swt :
“Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru rabbnya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini ….
(QS Al-Kahfi : 28)
(QS Al-Kahfi : 28)
“Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman”.
(QS Al-Hijr : 88)
(QS Al-Hijr : 88)
5. BERGAUL DAN MENYAMBUNG HUBUNGAN SILATURAHIM DENGAN MANUSIA
Seorang muslim wajib untuk bergaul dan menyambung tali persahabatan dengan manusia lainnya.
Manusia merupakan mahluk sosial yang tidak boleh hidup sendirian. Bercampur dan bergaul dengan manusia merupakan salah satu saranan dakwah yang hukumnya wajib.
Oleh kerana itu, tidak mungkin Islam akan sampai kepada masyarakat kalau kita sendiri tidak bergaul dan berhubungan dengan masyarakat dan tabiat ajaran Islam memang mengarahkan kepada perkara ini.
Islam bukan hanya untuk kehidupan peribadi muslim, malah mencakupi keluarga, masyarakat dan dunia.
Rasulullah saw semenjak diangkat menjadi Nabi dan Rasul, terus diperintahkan untuk :
a. Menyampaikan risalah.
b. Hidup dan bergaul dengan manusia.
c. Mendatangi majlis-majlis mereka.
d. Menyambung tali silaturahim.
e. Mengajak dan menyeru mereka ke jalan Allah.
Begitu pula para sahabat di mana mereka ajarkan kitabullah dan sunnah Rasulullah saw, petunjuk dan ilmu pengetahuan.
Oleh yang demikian, untuk mencapai kejayaan dakwah dan menjadi contoh tauladan bagi anak didiknya, seorang pendakwah atau murabbi mesti bergaul dengan masyarakat sekelilingnya di atas dasar cinta dan benci kerana Allah.
1. Dia tidak menyukai dan menyenangi seseorang melainkan kerana ketaatannya kepada Allah dan sikapnya yang bersegera kepada keridhaan Allah.
2. Dia tidak akan membenci seseorang melainkan kerana kemaksiatannya dan sikap orang itu yang bertentangan dengan perintah-perintah Alla Azza wa Jalla.
ASAS KEDUA : SESUAI PERKATAAN DENGAN PERBUATAN
Kesesuaian perkataan dengan perbuatan hendaklah seharusnya dilakukan kerana secara asasnya, jiwa manusia tidak boleh menerima faedah dari hanya sekadar ucapan kosong tanpa bukti.
Oleh kerana itu, Allah swt memperingatkan kita :
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu tidak mengerjakan apa yang kamu katakan ? amat besar kebencian Allah terhadap kamu, disebabkan kamu hanya mengatakan apa-apa yang tidak kamu perbuat”. (QS Ash-Shaff : 2-3)
Ada dua perkara yang mesti diperhatikan agar kita mampu menyelaraskan perkataan dengan perbuatan :
PERTAMA : NIAT YANG IKHLAS
Niat yang ikhlas membezakan antara perbuatan yang bersifat kebiasaan dengan perbuatan yang bersifat ibadah sehingga satu perbuatan yang secara hukum fiqhnya sah tetapi jika tidak diiringi dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata, maka tidak ada pahala dan nilainya.
Oleh kerana itu, Allah swt memerintahkan kepada para hambaNya untuk memurnikan dan mengikhlaskan niat di dalam melaksanakan kehidupan berdasarkan aturan Islam :
“Katakanlah : sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam menjalankan Din”.(QS Az-Zumar : 11)
KEDUA : MERASAKAN PENGAWASAN ALLAH
Inilah yang akan melahirkan sikap sentiasa diawasi dan dikawal oleh Allah swt sehingga sikap ihsan dapat direalisasikan di setiap waktu dan tempat.
Jika keadaan ini tercapai, maka kemenangan dan kebahagiaan sudah berada dalam genggaman kita.
Firman Allah swt :
“Maka fir’aun dan bala tenteranya dapat menyusuli mereka di waktu matahari terbit, maka setelah dua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa : sesungguhnya kita akan benar-benar tersusul, sesungguhnya Rabbku besertaku, kelak dia akan memberi petunjuk kepadaku …….”
(QS As-Syu’ara : 60-62)
(QS As-Syu’ara : 60-62)
Sikap ‘muraqabatullah’ atau sentiasa merasa diawasi oleh Allah membuatkan seseorang itu sentiasa menjaga lisan dan akhlaqnya.
Dakwah yang diwariskan oleh Rasulullah saw kepada kita hanya akan tertegak dan berkembang jika kedua asas ini dilaksanakan.
Asas-asas inilah yang akhirnya akan menghasilkan dakwah yang :
a. Menggentarkan musuh-musuh Allah kerana kekuatan iman dan aqidah.
b. Menyejukkan hati manusia kerana perkataan pendakwah yang sesuai dengan perbuatannya.
Ya Allah, hiasilah diri kami dengan akhlaq yang baik dan berilah kekuatan kepada kami supaya apa yang kami ucapkan benar-benar bersesuaian dengan apa yang kami lakukan serta jadikanlah keteladanan yang baik yang ada pada diri kami menjadi pintu pembuka kepada taufiq dan hidayahMu kepada manusia yang berinteraksi dengan kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam
"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"
No comments:
Post a Comment