Saturday, January 29, 2011

Dunia Pendakwah Atau Pendakwah Dunia?


by Pertubuhan IKRAM Malaysia on Tuesday, 21 September 2010 at 09:06

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Dunia pendakwah bukan semata-mata dunia retorik dan permainan kata-kata, tetapi ianya adalah dunia pergerakan yang penuh bergelora dan bersifat dinamik yang membawa misi besar untuk perubahan yang penuh dengan halangan dan rintangan.

Dunia pendakwah adalah dunia besar yang tidak hanya mengubah wajah peribadi tapi juga mengubah wajah umat manusia dan bahkan wajah dunia juga.

Ruang lingkup dunia pendakwah :
  1. Tidak semata-mata berbicara tentang agama malah berbicara tentang semua persoalan sehingga menghadirkan peradaban baru yang menakjubkan.
  2. Tidak hanya menangani isu berskala lokal tapi juga antarabangsa.
  3. Tidak hanya berbicara dengan wilayah dunia semata-mata tetapi juga berbicara nun jauh melampaui sehingga ke wilayah akhirat.
Dunia pendakwah adalah dunia luas yang menembusi waktu serta melintasi jarak dan zaman yang teramat panjang.

Jika pekerjaan dunia menuntut kita bersikap profesional maka kerja dakwah yang janji kebaikannya tidak terhitung sudah tentunya menuntut kerja yang lebih profesional.

Jika dalam menyembelih binatang yang dianggap persoalan ringan itupun, kita diminta bersikap profesional sebagaimana disebut dalam sebuah hadis Nabi :

“…maka jika kamu menyembelih, sembelihlah dengan profesional (itqan)”

Berdasarkan kaedah di atas, maka dakwah yang wilayah garapannya mencakupi dunia dan akhirat tentunya kita diminta lebih bersikap profesional lagi.

Usaha dakwah profesional dari sudut kerja duniawi adalah bagaimana kita berusaha untuk menyiapkan segala perbekalan secara optimum meliputi berbagai sudut keilmuan yang :
  1. Berkait dengan ilmu-ilmu syariat.
  2. Berkait dengan ilmu-ilmu kejiwaan.
Selain itu penyajiannya juga dibuat secara profesional dengan penggunaan segala kemudahan teknologi dan media secara optimum untuk memastikan penyampaian nilai-nilai yang tinggi  pada objek dakwah.

Profesional secara ukhrawi ialah bagaimana kita berusaha untuk membersihkan niat kita agar;
  1. Sentiasa mencari ridha Allah swt sehingga pengorbanan dan perjuangan menjadi nikmat yang tidak terbayang.
  2. Menyelaraskan kata-kata dengan perbuatan sehingga cahaya kebenaran mampu menembusi kegelapan hati yang paling dalam.
Dakwah profesional adalah dakwah yang layak untuk mendapat pertolongan dan kemenangan.

Pendakwah profesional benar-benar memahami dunianya.

Dunia pendakwah difahaminya sebagai :
  1. Dunia perjuangan dan pengorbanan.
  2. Dunia memberi bukan meminta.
  3. Dunia panjang tanpa batas.
  4. Dunia curam yang dipenuhi berbagai tipu muslihat.
Namun pendakwah profesional memahami betul bahwa pengorbanannya di jalan dakwah tidak akan pernah hilang tanpa perhitungan.

Hanya pendakwah profesional yang mampu memahami dakwah sementara mereka yang ingin mendapat nikmat kehidupan dari dakwah tidak akan pernah merasai manisnya dakwah dan perjuangan meskipun memiliki dunia dari hasil dakwahnya.

Pendakwah profesional :
  1. Tidak pernah mengeluh kerana beratnya bebanan.
  2. Tidak pernah sedih kerana sedikitnya hadirin dan sepinya sanjungan.
  3. Tidak pernah kecewa kerana tidak ada sambutan dan hidangan.
  4. Tidak pernah putus asa kerana lama dan panjangnya perjuangan.
Bekerja dan terus bekerja begitulah slogannya, dijejaknya jalan-jalan perkampungan di tengah-tengah teriknya mentari dan gerimis hujan, menyeru dan memanggil umat agar kembali kepada kebenaran tanpa pernah menampakkan wajah keletihan dan penampilan kesedihan.

Pendakwah profesional, walau ke hujung gunungpun dia akan datang memenuhi undangan meskipun tanpa jemputan.

Pendakwah profesional rela bergadang hingga larut malam membuat projek-projek besar untuk penyelamatan ummah di tengah-tengah lelapnya masyarakat dalam keterlenaan.

Pendakwah profesional rela mengorbankan apa yang dimiliki demi kebaikan umat dan lingkungannya.
  1. Semakin panjang jalan yang ditempuh, semakin nikmat dirasakan.
  2. Semakin berat medan yang dihadapi, semakin membuat dirinya tegak berdiri.
  3. Semakin besar pengorbanan yang diberi, semakin membahagiakan.
Meskipun dalam perjalanannya ia memerlukan pembiayaan, dia tidak pernah menampakkan wajah mengharap dan belas kasihan kepada umat, bahkan ketika diberi, dia mampu berkata :

”Sesungguhnya aku tidak meminta upah kepada kamu, upahku hanya dari Allah swt”. 

Senandung bahagia sebegini sentiasa terlantun dari lisannya ketika kelalaian dunia mengekangnya maka dia berucap :

Kami pendakwah sebelum segala sesuatu” 

Ketika keletihan dirasa, dia berucap :

Kami sekelompok kaum yang bernikmat-nikmat dengan keletihan dakwah” 

Ketika kelesuan berdakwah dirasa, dia berucap :

Tidak akan mulia suatu kaum yang meninggalkan dakwah dan memburu dunia”. 

Meskipun secara ekonomi, kehidupannya cukup sederhana bahkan sering mengalami kekurangan, namun dia berani berkata dengan lantang :

”Jika orang-orang seperti kita, bukan jika kita seperti orang-orang”. 

Kemuliaan pendakwah profesional tidak pernah pudar meskipun :
  1. Wang tiada.
  2. Rumah hanya menyewa.
  3. Pakaian sederhana.
  4. Makan seadanya.
  5. Berjalan beralaskan kasut yang mungkin sudah lusuh.
Bahkan ditengah-tengah kesukarannya, dia mampu memberi, kerana dia faham :
  1. Siapa yang menghidupkan dakwah, dia akan mulia.
  2. Siapa yang mencari kehidupan dari dakwah, akan hina.
Ketika dia tidak mampu memberi, maka cucuran air mata kesedihan tidak mampu lagi dibendung kerana merasai tertinggal dalam memenuhi panggilan kebaikan.

Sebahagian orang :
  1. Merendah-rendahkan mereka.
  2. Menganggapnya aneh.
  3. Mencelanya.
  4. Memfitnahnya.
  5. Menggertaknya.
  6. Menyiksanya.
  7. Mengusirnya.
  8. Membunuhnya.
Namun dia tidak pernah peduli.

Pendakwah profesional memahami bahwa itulah jalan suci, jalan yang dirintis oleh para Nabi.

Perjuangan panjang yang :
  1. Dimulai dengan keikhlasan.
  2. Disemai dengan kesabaran.
  3. Disirami dengan istiqamah.
  4. Dipupuk dengan pengorbanan.
  5. Dirawat dengan doa dan munajat.
Akhirnya membuahkan suatu harapan.

Mungkin perlahan pada mulanya namun pasti, pohon dakwah nan indah ini akan menampakkan hasil tempaannya apabila setiap anggota masyarakat mulai sedar dari buaian mimpi mereka.

Mereka yang sedar merasa gelisah ketika berdiam diri melihat kehinaan yang berlaku di dalam masyarakat. 

Mereka bahu membahu memperkuatkan barisan, mengajak dan menyeru semua kalangan untuk memperkuatkan perjuangan.

Apabila pohon dakwah semakin besar, para tokoh mula ingin turut serta di dalamnya. Sambutan kemenangan tidak hanya di bandar bahkan di daerah dan seluruh pelosok desa, dakwah memperlihatkan wajah segarnya.

Pada ketika itulah para pendakwah mulai dikenali, bahkan :
  1. Menjadi terkenal.
  2. Dirinya mula dijadikan pusat rujukan dan perundingan.
  3. Saranan dan pendapatnya didengar.
  4. Fatwanya dipatuhi.
  5. Keputusannya dituruti.
  6. Semua orang menaruh hormat kepadanya.
  7. Kagum khalayak ramai dibuatnya ketika mendengar taujihatnya.
  8. Tanpa terasa, kadang-kadang air mata orang ramai meluncur deras demi mendengar sentuhan wasiatnya.
  9. Jamaahnya kian hari kian besar.
  10. Sanjungan dan pujian tidak pernah putus terlontar meskipun ia tidak meminta.
  11. Pengaruhnya mula menguasai masyarakat awam.
  12. Semua kalangan meletakkan kepercayaan kepadanya agar ia membawa misi perubahan.
  13. Bukan hanya rakyat jelata yang menaruh harapan.
  14. Sebahagian birokrat dan penjawat awam akan cuba mendekatinya.
Dunia yang dahulunya telah :

  1. Menaklukkan Qarun.
  2. Membuatkan ahlul badar khilaf.
  3. Menyebabkan ahlul uhud tercerai berai.

Maka dunia yang sama ini tidak akan pernah membiarkan seorang pejuang untuk lepas dari perangkap pesonanya.

Adakah seorang pendakwah itu tetap menjadi

  1. Pendakwah profesional

atau menjadi

  1. Pendakwah dunia.

Hanya waktu yang akan membuktikanya.

Apakah dia menjadi

  1. Pejuang aqidah

atau

  1. Pejuang kepentingan.

Dunia dahulu dan dunia kini masih sama kekuatannya untuk menipu dan mengelabui pewaris Nabi.

Adakah pendakwah mampu belajar dari pengalaman atau tidak?

Namun sebahagian dari kita sering belajar dari pengalaman bahwa :

‘Kita tidak belajar dari pengalaman.’

Andaikata kemenangan menjadikan pendakwah :

  1. Lebih dekat kepada Penciptanya.
  2. Lebih bersyukur.
  3. Lebih bertambah ketawadhu’annya.
  4. Lebih meridhai kesusahan perjuangannya.
  5. Semakin dekat dengan Allah swt.

Maka ketahuilah bahwa ciri-ciri tersebut memang layak dimiliki oleh pendakwah pofesional.

Namun, jika yang berlaku adalah sebaliknya maka ia telah berubah menjadi pendakwah dunia

Na’udzubillahi min zalik……

Ya Allah, jadikanlah dunia ini sebagai ladang dakwah kami sehingga kami berusaha, beramal dan berdakwah semata-mata mengharapkan keridhaanMu. Jauhkanlah diri kami dari dikuasai oleh dunia dan segala penghasilannya kerana kami khuatir bahwa dunia yang sepatutnya menjadi ladang dakwah kami akan mengubah niat dan matlamat kami sehingga menukarkan peribadi pendakwah menjadi pendakwah dunia.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Terkini Mesir; Pandangan dan pendirian

BICARA YDP
(sempena peristiwa besar yang berlaku di Egypt)

Demonstrasi di ibukota Mesir, Kairo (AP Photo)
Assalamualaikum wmt wbkth

Segala puji bagi Allah SWT Rabbul Jalil. Selawat dan salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w penutup segala kenabian.
Hari ini seluruh kota Mesir (Egypt) sedang meledakkan kemarahannnya. Kemarahan masyarakat yang meluap-luap yang tidak mampu lagi ditahan dan dibendung akibat kezaliman Regim Gamel Abd Nasir yang sejak sekian lamanya menindas rakyat dengan sistem kuku besinya, rasuah dan pemerintahan polis yang kejam dan memenjarakan seluruh para penentangnya.

Hari ini kuasa dan taringnya sudah hilang dan lesu. Kukunya sudah hilang dan lembik tidak mampu lagi menahan kemarahan bangsanya sendiri. Ini adalah satu pengajaran buat para Diktator manapun di dunia ini. Memerintah dengan adil dan kasih sayang atau menerima ancaman kemarahan rakyatnya sendiri.
Imam Hassan Al-Banna pernah dalam tulisannya mengatakan kepada pemerintah Mesir waktu itu agar melakukan perubahan. JIka mereka gagal melakukannya rakyat akan bangkit bukan disebabkan oleh Ikhwanul Muslimun (IM) bahkan oleh kezaliman dan kebodohan regim mereka itu sendiri yang gagal menerima seruan dan nasihat. Hari ini Ikhwan Muslimun Mesir menyeru rakyat untuk bertahan dan bersatu menentang regim ini dengan sabar dan aman. Mereka adalah harapan baru bagi ummah dan kini hampir puluhan pemimpin tertinggi IM ditangkap. Kita semua berdoa agar mereka segera dibebaskan dari tahanan. IM telah lama bersabar dengan dakwah dan seruan mereka yang bijaksana. Mendidik masyarakat dengan Islam dan mengajak masyarakat kembali kepada cara hidup Islam sejak ianya diasaskan.

IM pernah menerima gegaran penangkapan dan pengharamannya serta penyiksaan ribuan anggotanya disiksa dan dibunuh dengan kejam oleh Regim Jamal Abd Nasir. Namun IM tetap tabah dan thabat mengharung tempoh penyiksaan, pembunuhan dan pemenjaraan yang sangat panjang. Regim ini telah membunuh jiwa rakyatnya dengan rasa takut kepada kekejaman serta tekanan polis-polis rahsianya yang sentiasa berada di mana-mana. Kini seminggu lepas Regim Tunisia berakhir, kemarahan rakyat Tunis menjalar ke bumi anbiya ini. Kini rakyat yang telah ditekan terlalu lama mula berani membuka segala penjara ketakutan mereka selama ini. Mereka sudah terlalu lama oleh tekanan "under siege" yang menyebabkan jiwa mereka tertekan dan tidak berani menyatakan tidak kepada Regim zalim selama ini.

Kita berharap esok Regim ini akan musnah. Esok kita berharap satu perubahan baru dalam landskap politik Mesir akan berlaku. Reformasi dalam sistem politik, ekonomi dan sosial serta pendidikan akan membuka pintu baru bagi Mesir yang baru. Ini tidak bermakna dakwah dan jihad telah selesai. IM akan terus bekerja melakukan perubahan ini. Menawarkan solusi dan kebijaksanaan baru bagi bangsa Mesir dan demi kebaikan ummah di sana.

Saya menjangkakan satu kudeta akan berlaku di Mesir jika kerajaan sedia ada gagal menerima kemarahan rakyat hari ini.  Namun adalah diharapkan ianya akan bersifat sementara sebelum diserahkan kembali kepada rakyat untuk memilih kepimpinan yang terbaik dari putera-putera Mesir yang baik dan dan beriman. Di sinilah peluang bagi dakwah IM. Jika sebelum ini IM ingin mendaftarkan parti politik tidak dibenarkan dan IM terus diharamkan, kita berharap semua ini akan berubah dalam seminggu hingga beberapa bulan reformasi di Mesir ini akan berlaku. Jika reform benar-benar berlaku, IM akan mula dihalalkan. Akan mudahlah dakwah ini menyampaikan risalahnya tanpa rasa takut lagi. Parti Politik IM akan didaftarkan, maka mudahlah para politik IM beraksi di pentas politik Mesir membawa cita rasa dan idea Islam dalam negara ini. Jika berlaku reform, akan bebaslah semua tahanan politik Mesir sejak sekian lam yang duduk di bawah tanah dan penjara yang gelap dan kotor itu. Kita doakan semua tahanan IM akan bebas. Moga Naib Mursyid IM Ir Khayrat Shatir akan bebas dari mahkamah tentera sejak sekian lamanya. Moga semua mereka akan bebas dengan izin Allah SWT

Malam ini bangunan parti pemerintah Regim Gamal Abd Nasier telah terbakar. Ini adalah hari akhir buatnya dan para penzalim. Esok adalah hari kebangkitan baru buat Mesir. Moga Allah SWT akan terus memberikan keberanian kepada putera-putera Mesir untuk menyatakan " down! down Gamel" . Saya yakin samada beliau akan lari meninggalkan buminya ke negara lain atau beliau akan ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas segala kezalimannya sejak 30 tahun yang lalu. Selamat tinggal Gamel Abd Nasier dan selamat datang hari kebahagian buat Bangsa Mesir ' Viva Egypt!".

Ikhwah dan akhawat. Ini menuntut kita semua beramal. Beramal dengan tekun dan sabar. Allah SWT akan menentukan masa kemenangannya. Usaha dakwah dan tajmik. Usaha membina syakhisyyah Islamiyyah di kalangan umat. Memilih anasir soleh dan mendidik mereka dengan syakhsiyyah jamaiyyah seterusnya membawa mereka ke alam realiti dakwah dan pengorbanan, ke arah riaayah jamahiriyyah. Melakukan dakwah, memuliakan ummah, menyantuni masyarakat dengan dakwah dan kebaikan. Rakyat akan melihat amal kita. Amal kita akan berbicara. Berbicara dengan jujur dan ikhlas lebih kuat dari suara-suara kita. Oleh itu teruslah bekerja dengan penuh sabar dan thabat, jujur dan ikhlas mengharapkan wajah Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang menolong (agamanya), sesungguhnya Allah benar-benar
maha kuat lagi maha perkasa" (al-Hajj:40).

Firman Allah yang bermaksud; "Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan
Allah, dipesakakannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al A'raf:128).

Firman Allah yang bermaksud;
"Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat
kerosakan di (muka) bumi dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa" ( al
Qasas:83).

Segala kebenaran hanya milik Allah SWT
Kepada Pemangku YDP IKRAM SEL Hj Mazmi terima kasih dan selamat terus beramal dan berjuang.

Faqir Ilaihi
Saudara kamu
Shamsul Ma'arif Hj Ismail
 YDP IKRAM Selangor
(kini di Oxford UK)