Oleh : Maszlee Malik
Firman Allah S.W.T. di dalam surah Ali Imran: ayat 75 berbunyi: “Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalauengkau amanahkan dia menyimpan sejumlah harta yang banyak sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu. Dan ada pula di antara mereka yang kalau kau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau selalu menuntutnya...”
Lewat persidangan “Peace in Palestine” yang berlansung di Putrajaya hujung Mac 2005, rakyat Malaysia bagai disentak dari lamunan mereka dengan munculnya seorang Yahudi di muka bumi Malaysia yang lengkap dengan pakaian ortodoksnya. Bukan hanya sekadar kostum yang berwarna hitam, topinya, rambutnya yang bergulung-gulung dan juga janggutnya sudah cukup untuk sesiapa yang melihatnya pasti akan mengenali keYahudiannya itu. Kejutan itu tidak cukup sekadar itu, di dadanya terpampang bendera Palestin dan tertulis “Ana Yahudi wa Laisa Israeli” (Saya adalah Yahudi dan bukan orang Israel). Kemuncak kejutan pula ialah ucapan yang diberikan oleh beliau dalam kesempatan lebih kurang 10 minit yang telah diberikan kepadanya.
Katanya:
“Israel adalah negara haram dan bertentangan dengan aqidah agama Yahudi dan juga kitab Taurat!!!”.
Yahudi spesis apakah ini???!!!
Itulah Rabbi Yisroel David Weiss dari kumpulan Yahudi Ortodoks yang menggelarkan diri mereka sebagai Naturei Karta (yang bermaksud: Penjaga kota atau The Guardians of the city). Ianya merupakan sebuah kelompok Yahudi Ortodoks yang menentang kewujudan negara Israel dan juga gerakan Zionis sedunia. Menurut mereka, penubuhan gerakan Zionis dan juga negara Israel merupakan satu konspirasi untuk merosakkan agama Yahudi dan sekaligus menghancurkannya. Mereka juga mendakwa bahawa rejim Zionis dan juga negara haram Israel tidak sekali-kali mewakili agama Yahudi, malah mereka merupakan golongan kafir menurut aqidah Yahudi yang sebenar!
Faham Anti-Zionis
Penolakan kumpulan ini terhadap ideologi Zionis dan juga negara haram Israel adalah berpunca dari pentafsiran agama Yahudi itu sendiri. Bagi mereka, Yahudi adalah agama yang telah wujud semenjak 3000 tahun yang lalu dan bukannya nama khusus bagi bangsa tertentu. Oleh yang demikian dengan sendirinya mereka menolak faham perkauman yang menjadi syiar utama semua kelompok Yahudi di serata dunia, dan juga teras kepada ajaran Zionisme.
Menurut mereka juga, penganut agama Yahudi adalah “bangsa pilihan Tuhan” bukan kerana bangsa mereka dan juga kehebatan mereka. Mereka dipilih Tuhan adalah kerana mereka adalah manusia yang penyayang dan juga mengasihani manusia lain. Pilihan tersebut juga bukanlah bermaksud dipilih untuk menguasai dunia dan memperhambakan bangsa-bangsa lain, tetapi ianya bermaksud mereka dipilih untuk hidup dengan mentaati Tuhan dan membantu manusia di seluruh dunia tanpa mengira bangsa.
Kumpulan Naturei Karta juga menegaskan bahawa ajaran Yahudi yang sebenar melarang penganutnya dari menumpahkan darah dan membenci bangsa lain. Mereka juga percaya bahawa mendapatkan kekuasaan dan membina negara di atas dasar kezaliman dan kekerasan adalah dikutuk oleh Tuhan. Bagi mereka, Yahudi adalah agama dan bukannya sebuah gerakan politik bersifat kebangsaan yang bersikap jahat terhadap bangsa yang lain. Pendapat mereka ini jelas bertentangan dengan ideologi Zionisme yang didokong oleh pelbagai kumpulan Yahudi yang bertanggung jawab membina negara haram Israel di atas tanah rakyat Palestin di atas nama perkauman dan gerakan kebangsaan.
Bagi faham Zionisme juga, Yahudi adalah semata-mata perkauman dan untuk menegakkan negara bagi kaum Yahudi mereka bebas menggunakan apa-apa cara samada kezaliman mahupun kekerasan. Zionisme juga percaya bahawa hanya dengan ideologi sekular sahaja mereka dapat memastikan survival bangsa Yahudi dan juga kesinambungan negara haram Israel yang mereka bina. Bagi mereka, kitab Taurat hanyalah satu kitab suci yang menjadi adat resam bangsa Yahudi sahaja tanpa membawa apa-apa erti dalam kehidupan duniawi mereka.
Faham Zionis juga menterjemahkan “Bangsa Pilihan Tuhan” sebagai satu lesen bagi mereka untuk mempergunakan bangsa-bangsa lain di muka bumi ini. Ianya juga merupakan lesen besar untuk mereka jadikan alasan kepada kewujudan mereka di bumi Palestin dan menafikan hak kaum Arab (Muslim dan Kristian) di bumi tersebut. Walaupun berbekalkan semangat keYahudian, namun faham Zionis menolak ajaran-ajaran Taurat yang menghalang kaum Yahudi dari pulang ke Palestin dan menzalimi sesama manusia.
Jelas bahawa faham Zionis hanyalah sebuah doktrin fahaman sekular yang diwarnai perkauman yang radikal. Di atas dasar inilah faham Zionis berpendapat bahawa selagimana seseorang manusia berketurunan Yahudi, maka dia adalah bangsa “Yahudi”, walaupun dia tidak mempercayai tuhan, tidak beragama dan juga tidak mempercayai Taurat serta ajaran-ajarannya. Sebab itulah kita mendapati pengasas gerakan Zionisme sendiri pun merupakan seorang Atheis yang tidak mempercayai tuhan sama sekali.
Yang menarik lagi, beliau (Theodore Herzl) pernah memakan sandwic berintikan daging babi (yang diharamkan oleh agama Yahudi) dengan menggunakan tangan kirinya di hadapan rabbi-rabbi Yahudi untuk menunjukkan beliau adalah seorang Yahudi yang liberal.
Atas sebab ini jugalah kita dapat melihat banyak sekali larangan-larangan dalam Taurat dilanggar oleh penduduk negara haram Israel yang merupakan masyarakat faham Zionis. Antaranya, (sekadar menyebutkan sahaja) bekerja hari Sabtu, perzinaan, membunuh orang-orang Palestin, menjual babi dan 1001 lagi pantang larang yang dilanggar di dalam negara Israel Zionis yang sekular.
Kumpulan Naturei Karta juga tidak mengiktiraf fahaman yang membezakan di antara kaum Yahudi dengan bangsa-bangsa lain. Bagi mereka, intipati ajaran Talmud (Meshna Tora, iaitu sumber rujukan kedua Yahudi seumpama Sahih al-Bukhari orang Islam) menegaskan perkara tersebut.
Sayangnya, menurut mereka, pentafsiran Talmud sering melupakan perkara ini dan hanya menumpukan kepada pentafsiran yang membawa kepada kelebihan kaum Yahudi berbanding dengan bangsa lain sahaja. Menurut meeka juga, kepercayaan yang berteraskan aqidah Monotheism ini telah menjadikan mereka tidak sombong dan bongkak lantas menjadi sesat seperti para pendokong Zionis yang pada pandangan mereka telah menjadi kufur dan musyrik.
Naturei Karta dan bumi Palestin
Antara perbezaan besar di antara Naturei Karta dengan golongan Zionis dan Israeli juga adalah sikap mereka terhadap bumi Palestin dan juga janji Tuhan kepada mereka berkenaan bumi tersebut. Menurut mereka, kaum Yahudi telah dikeluarkan dari bumi tersebut adalah kerana dosa-dosa mereka. Ianya merupakan siksaan dari Tuhan kepada bangsa Yahudi, dan sewajarnya kaum Yahudi mengambil pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan silam. Proses pembuangan Yahudi dari bumi Palestin semenjak tahun 70 A.D. lgi adalah peluang bagi kaum Yahudi untuk mendekatkan diri mereka kembali kepada Tuhan dan memperbaiki diri mereka.
Walaupun kaum Yahudi sentiasa berdoa siang dan malam agar mereka dikembalikan ke bumi Palestin yang dijanjikan Tuhan kepada mereka, menurut kumpulan ini, ianya hanya hak Tuhan untuk mengembalikan mereka dan bukannya dengan usaha mereka sendiri, apatah lagi dengan mengambilnya dari orang lain serta menumpahkan darah. Mereka juga yakin, apabila sampai waktunya nanti, mereka akan pulang ke Palestin bersama Messiah yang telah dijanjikan oleh Tuhan, dan mereka akan hidup harmoni dengan penduduk lain di Palestin dalam keadaan beriman kepada Tuhan.
Maka, sewajarnyalah mereka menentang propaganda Zionis dan juga usaha-usaha kejam gerakan tersebut. Bagi kumpulan ini, apa yang dilakukan olrh Zionis dan juga Israelis sekarang ini hanya akan mengundang kemurkaan Tuhan terhadap mereka dan juga merupakan persiapan untuk mengundang azab dari Tuhan.
Erez Yizrael yang mereka idamkan itu, menurut Naturei Karta adalah berbeza dengan negara Israel sekarang ini yang lebih kepada negara ketenteraan dan zalim. Erez Yizrael yang akan dibina oleh Messiah nanti adalah negara kerahiban, tanpa peperangan dan juga tanpa keganasan. Semua rakyat Yahudi akan tunduk dan beribadat kepada Tuhan untuk mendapatkan keredhaannya bersama-sama penduduk negara tersebut secara aman dan damai.
Oleh yang demikian, sehingga kini, Naturei Karta tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel, malah tidak pernah pun pergi ke Kotel (tembok meratap) mereka yang pada pandangan mereka telah dirampas dengan kekerasan dan kekejaman. Kekerasan dan kekejaman bukanlah intipati ajaran agama Yahudi pada pendirian kumpulan ini.
Zionis dan Nazi
Di dalam bahan-bahan terbitan mereka, kumpulan Naturei Karta juga sering membidas golongan Zionis dan golongan Yahudi yang mempunyai dua kerakyatan (kerakyatan di negara yang mereka tinggal dan satu lagi kerakyatan Israel yang terbuka untuk semua Yahudi). Mereka mengumpamakan golongan seperti ini sebagai penderhaka dan tidak boleh dipercayai.
Mereka menyeru agar penganut agama Yahudi yang sebenar menjadi rakyat yang baik, setia dan bekerjasama dengan penduduk negara yang mereka diami. Mereka beriman bahawa agama Yahudi menyuruh penganutnya menjadi warga yang baik dan juga rakan yang boleh dipercayai. Naturei Karta juga giat berkempen menyedarkan dunia terhadap konspirasi yang berlaku di antar pihak Zionis dan juga rejim Nazi Hitler lewat peristiwa “Holocaust”.
Pihak Zionis yang mempunyai kepentingan untuk memaksa orang-orang Yahudi berhijrah ke Palestin telah menggunakan peluang tersebut untuk membunuh mereka yang enggan berhijrah dan menjadikannya sebagai alat untuk menakut-nakutkan bangsa Yahudi lain di seluruh dunia, agar segera berhijrah ke Palestin. Ramai di antara kaum Yahudi yang terkorban lewat peristiwa tersebut merupakan golongan ortodoks Yahudi dan juga mereka yang anti-Zionis.
Bagi pihak Zionis, pakatan dengan Nazi itu telah membuahkan hasil yang lumayan sehingga ke hari ini. Bukan hanya sekadar simpati dunia yang mereka berjaya perolehi untuk menjustifikasikan kewujudan mereka di bumi Palestin, malah mereka juga berjaya untuk menipu majoriti kaum Yahudi, terutamanya golongan hartawan dan ortodoks yang enggan berhijrah kerana sebab agama dan juga keselesaan di negara yang mereka diami.
Jenayah ini menurut Naturei Karta, merupakan jenayah terbesar gerakan Zionis terhadap kaum Yahudi dan juga agama Yahudi.
Asal usul gerakan ini
Gerakan yang mempunyai cawangannya di seluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat ini berasal dari gerakan Yahudi Ortodoks yang bernama Agudat Israel. Gerakan Agudat Israel ini telah ditubuhkan oleh golongan ortodoks Yahudi yang ingin menjaga kesucian agama mereka dari dirosakkan oleh gerakan-gerakan sekular Yahudi, terutamanya gerakan Zionis sedunia (World Zionis Organization) yang telah mula mendapat sokongan banyak pertubuhan Yahudi dari serata pelusuk dunia.
Sejurus diisytiharkan deklarasi Belfour, kumpulan Agudat Israel ini telah mengemukakan bantahan mereka terhadap League of Nations (Liga Bangsa-Bangsa, iaitu sebuah kesatuan negara-negara sedunia sebelum United Nations / Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Mereka membantah terhadap pengiktirafan kerajaan British terhadap gerakan Zionis yang kononnya dianggap sebagai wakil bangsa Yahudi. Ketika gerakan Zionis menubuhkan Vaad Leumi, sebuah badan koordinasi Yahudi-Yahudi yang mendiami bumi Palestin, mereka telah menolak pelawaan Zionis untuk menyertai badan tersebut.
Pergeseran ini telah membawa sedikit demi sedikit peperangan dan perbalahan di antara Agudat Israel dan juga gerakan Zionis sehingga tahun 1927. Di bawah mandat British, mereka telah berjaya mendapatkan hak untuk tidak menyertai National Council yang merupakan badan sah untuk bangsa Yahudi di Palestin berurusan dengan pihak British.
Pertelingkahan ini walau bagaimanapun semakin lemah, apabila ramai di antara pengikut Agudat Israel mula menyertai faham Zionis, terutamanya dari kalangan mereka yang telah berputus asa dengan idealisme gerakan itu. Melihatkan kepada perkembangan gerakan Zionis dan juga kejayaan mereka untuk menubuhkan sebuah negara bagi kaum Yahudi (Erez Yizrael), ramai di antara ahli-ahli Agudat Israel, yang terdiri dari golongan ortodoks mula mengubah haluan untuk menyertai arus perdana kaum Yahudi di bumi Palestin dengan menyokong faham Zionis. Lebih menarik lagi, Agudat sendiri sebagai sebuah organisasi telah mendokong faham Zionis secara rasmi dan mengatakan bahawa Deklarasi Belfour itulah merupakan “Janji Tuhan” kepada bangsa Yahudi.
Keadaan menjadi lebih parah apabila Rabbi Cook the Elder telah mengeluarkan fatwa wajib bagi bangsa Yahudi di seluruh dunia untuk menyokong gerakan Zionis berdasarkan pentafsiran semula Talmud. Sebagai seorang yang berautoriti di kalangan golongan Ortodoks, fatwanya itu telah memberikan inspirasi kepada ramai dari kalangan Yahudi ortodoks yang lain untuk berhijrah dan mengiktiraf hegemoni faham Zionis terhadap survival bangsa Yahudi.
Kesan daripada perkembangan ini, golongan Yahudi Ortodoks yang telah berhijrah daripada Poland dan juga Jerman telah menubuhkan Naturei Karta (terjemahan: Penjaga Kota). Mereka bukan hanya tidak mengiktiraf gerakan dan faham Zionis, malah memisahkan diri mereka dari pertubuhan tersebut. Mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyatakan kerelaan mereka untuk bernaung di bawah kerajaan Islam berbanding hidup di bawah pemerintahan Zionis di dalam akhbar-akhbar milik mereka sendiri sejak dari tahun 1944 lagi.
Apabila penubuhan negara Israel diisytiharkan pada tahun 1948, mereka telah menghantarkan surat bantahan terhadap Leagues of Nation. Menurut mereka, penubuhan tersebut adalah tidak sah, dan mereka memilih untuk berhijrah ke Jordan dan tidak menetap di Palestin. Sehingga beberapa waktu, gerakan ini sentiasa mengeluarkan kenyataan mereka mengutuk kerajaan Israel, dan sering mengantungkan bendera Israel separa tiang setiap kali acara hari kebangsaan penubuhan negara Israel disambut pada setiap tahun. Mereka juga menyokong segala usaha pembebasan bumi Palestin oleh orang-orang Arab dan kaum Muslimin.
Lebih menyakitkan hati kaum Zionis lagi, apabila mereka sentiasa menyeuarakan kesediaan mereka untuk bersama-sama kaum Muslimin untuk hidup di dalam sebuah negara Islam Palestin, di mana mereka tinggal di sana sebagai kaum minoriti yang baik. Hal ini telah membuatkan mereka menerima tindak balas yang kejam dari kerajaan rejim Zionis. Seperti orang Arab yang lain, merekatelah didiskriminasi, malah penempatan mereka seperti di Mea Sherim telah dikacau dan dihuru-harakan oleh pihak rejim Zionis. Usaha jahat rejim Zionis ini telah menyebabkan ramai di antara pendokong Naturei Karta mengambil keputusan untuk berhijrah meninggalkan Palestin, dan pengikut mereka serta simpatisan perjuangan mereka semakin berkurangan dari hari ke hari.
Gerakan Naturei Karta kini
Kini, gerakan Naturei Karta telah cuba membina kekuatan mereka kembali di luar Palestin. Di New York dan juga bandar-bandar lain di Eropah, mereka telah menyusun gerakerja yang lebih strategik. Di dalam setiap demonstrasi anti-Zionis dan anti-Israel, pasti wajah-wajah mereka akan muncul dengan plakad-plakad yang tercatat slogan-slogan anti-Israel dan Zionis. Mereka juga tidak ketinggalan membakar bendera Israel sambil menjulang bendera Palestin. Mereka juga sering berhubung dengan PBB dan menyuarakan pandangan-pandangan mereka terhadap isu Palestin dan menggesa agar PBB tidak mengiktiraf negara haram Israel.
Mereka juga sering melakukan kempen di serata dunia menggesa agar masyarakat dunia tidak mengiktiraf Israel dan juga menyeru agar negara haram Israel dihapuskan dan digantikan dengan negara Palestin berdaulat dengan bandar Baitul Maqdis diletakkan di bawah pengawasan antarabangsa. Gerakan ini kini mempunyai hampir 60,000 ahli di serata dunia yang berpusat di Brooklyn, Amerika Syarikat.
Mereka mempunyai tujuh orang ahli majlis tertinggi yang menetapkan hala tuju perjalanan gerakan tersebut dan juga merupakan tempat rujuk bagi ahli-ahli gerakan itu di serata dunia. Mungkinkah mereka bakal menjadi penyelesaian kepada isu Palestin yang sedang mencari titik perhentiannya kini?
(Sumber rujukan: The Encyclopedia of Jews, Judaism and Zionism oleh Dr. Abdul Wahab el-Masiri, jilid ke-6)